RM835.4 juta diluluskan bagi inisiatif FSA2 KWSP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM835.4 juta telah diluluskan bagi bayaran inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan 40,196 permohonan setakat 26 Mei 2023.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM790.8 juta telah disalurkan melalui MBSB Bank Bhd manakala RM44.6 juta menerusi Bank Simpanan Nasional.

"Kebanyakan permohonan yang tidak layak pula disebabkan oleh pemohon tidak mencapai syarat-syarat seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki Akaun 2 yang tidak mencukupi,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MOF menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai jumlah permohonan pencarum KWSP terbabit serta nilai yang diluluskan bagi inisiatif itu.

Inisiatif FSA2 bertujuan membantu ahli KWSP yang memerlukan bantuan kewangan mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ia juga bertujuan mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan di masa depan dengan impak minimum ke atas simpanan persaraan ahli yang banyak terjejas susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19. - Bernama