Ulangi 'skrip' perkauman, agama, Pas didakwa tonjol ekstremisme

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan tuduhan Pas yang menyamakan Pulau Pinang dengan rejim Zionis sebagai satu penghinaan kepada perjuangan pembebasan umat Islam Palestin.

Muhammad Kamil mendakwa, bagi Pas, segala tindak-tanduk kerajaan negeri seolah-olah adalah permusuhan kepada agama Islam dan orang Melayu.

“Hal yang sama berlaku apabila Pas juga melabelkan kerajaan persekutuan semasa dikendalikan oleh golongan tak bermoral dan dikelilingi ‘syaitan bisu’ untuk menterjemah naratif dikuasai oleh kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam.

“Mengulangi skrip perkauman dan agama sekadar mengiakan ekstremisme yang diamalkan Pas.

"Ini bukan kali pertama sentimen dengan pengulangan retorik ‘tidak mustahil’, ‘agaknya’, ‘nampak kecil’, dan ‘jika’ dalam penulisan spekulatif Pas memandang rendah kepada keupayaan rakyat Malaysia untuk berfikir dan memperkecil kehendak rakyat kepada kehendak keharmonian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Pas telah membangkitkan isu berhubung Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehingga rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Parti itu mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.

Pas turut mendakwa Pulau Pinang membuat 'rampasan bersistem' dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.

Dalam pada itu, ulas Muhammad Kamil, dakwaan penyingkiran bersistem masyarakat Melayu di Pulau Pinang itu adalah satu provokasi kepada 18 Pegawai Pengurusan Tertinggi Melayu dan India di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang yang berada di dalam sistem.

Tambahnya, kenyataan itu juga mempertikai hubungan Istana Negara bersama kerajaan negeri, malah kedudukan Yang di-Pertua Negeri sebagai entiti yang mengiktiraf dan bersama dalam pembangunan Pulau Pinang.

“Hak Terhadap Harta boleh dirujuk pada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Terdapat 2 subseksyen di bawah Perkara 13 Perlembagaan ini iaitu Perkara 13(1) dan Perkara 13(2).

“Perkara 13(1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Perkara 13(2) pula menyatakan dengan jelas iaitu tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai,” ujarnya.