El-Nino: SPAN buat persediaan hadapi kemarau panjang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenal pasti pelan tindakan dan mitigasi sebagai persediaan yang berkesan untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka berpanjangan.

Susulan itu, satu Bengkel Pelan Tindakan Kesan El-Nino Terhadap Industri Perkhidmatan Air dianjurkan dengan matlamat mengurangkan kesan yang dijangka berlaku akibat daripada fenomena cuaca panas berpanjangan.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, ia merupakan inisiatif SPAN dengan matlamat untuk mengurangkan kesan yang dijangka berlaku akibat daripada fenomena cuaca panas berpanjangan.

“Objektif bengkel ini dibuat untuk memperkasakan penyelarasan dan memantapkan rangkaian komunikasi serta tindakan segera bagi industri perkhidmatan air sekiranya berlaku kemarau yang berpanjangan ketika menghadapi kekurangan sumber atau krisis bekalan air mentah.

“Bengkel ini juga memaklumkan berkenaan kesiapsiagaan operator air dan pembetungan, selain menyediakan platform serta ruang perkongsian cadangan atau pengalaman oleh pihak yang berkepentingan.

“Kami bertanggungjawab dalam memantau dan berkongsi data atau maklumat status terkini secara telus melalui War Room SPAN yang telah dilancarkan pada 1 Jun selaras dengan pelan tindakan pengurusan risiko gangguan bekalan air,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Lebih daripada 120 peserta menghadiri Bengkel Pelan Tindakan Kesan El-Nino Terhadap Industri Perkhidmatan Air terdiri daripada operator, jabatan dan agensi bekalan air, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan pengilang makanan seperti Nestlé Malaysia menghadiri bengkel tersebut.

Dalam pada itu, Charles menjelaskan, data dan maklumat War Room SPAN dapat diakses oleh semua pihak termasuk pengguna tentang status terkini keadaan negara sekiranya menghadapi situasi cuaca panas berpanjangan.

“Tanggungjawab bagi menangani isu ketidakcukupan sumber air mentah bukanlah semata-mata terhadap operator dan pembetungan serta agensi kerajaan sahaja, malah ia melibatkan semua pihak termasuk kilang, NGO terlibat dan orang awam.

"Kami berharap satu saluran komunikasi yang seragam di antara SPAN, operator dan pengguna besar bekalan air seperti FMM serta pihak berkepentingan lain dapat diwujudkan," ujar beliau.