Lewandowski tidak berminat ke Arab Saudi

Lewandowski
Lewandowski
A
A
A

ROBERT Lewandowski tidak berhasrat beraksi di Liga Arab Saudi walaupun ditawarkan nilai gaji yang tinggi.

Kelab-kelab di Arab Saudi sedang merancang perpindahan besar pemain ternama dunia ke liga tersebut dengan penyerang Real Madrid, Karim Benzema sudah pun berpindah selain N'Golo Kante dan Roberto Firmino bakal mengikuti jejak pemain itu.

"Tiada isu. Jadi saya tidak memikirkannya.

"Terutama kerana kontrak saya (dengan Barcelona) masih ada untuk sementara waktu ini.

"Saya melihat apa yang berlaku (di Arab Saudi) tetapi ia tidak membimbangkan saya, kerana saya mempunyai keutamaan lain pada masa ini," katanya.

Lewandowski memang tidak dinafikan sebagai salah seorang penyerang terhebat pada usia 34 tahun dan menepati kriteria yang dicari kebanyakan kelab di Liga Arab Saudi.

Namun, bekas penyerang Bayern Munich itu masih mempunyai baki tiga tahun kontrak di Barcelona dan dia tidak tergesa-gesa untuk berhijrah.

Liga Arab Saudi sememangnya menjadi tumpuan pada masa ini terutama selepas perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr.

Sebelum ini, ada usaha untuk membawa Lionel Messi ke liga tersebut namun gagal apabila pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu memilih untuk ke Liga Amerika Syarikat.

Riyad Mahrez dari Manchester City, Luka Modric dari Real Madrid dan Kalidou Koulibaly juga merupakan beberapa nama yang sedang cuba dirunding untuk bermain di liga tersebut.