Dalang scammer tak mengaku aniaya, rompak remaja

Sun Hung (dua dari kiri) dan Lah Seng (tiga dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.
Sun Hung (dua dari kiri) dan Lah Seng (tiga dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Empat dalang scammer termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tuduhan merompak dan menyeksa seorang remaja berusia 15 tahun menggunakan tangan, kaki, tali dan besi.

Tertuduh, Soh Sun Hung, 20, Yap Kah Seng, 22, dan dua lagi remaja lelaki berusia 17 dan 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya,Taman Klebang Jaya antara jam 8 hingga 1 pagi di sini, pada 28 Mei lalu.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan rompak dan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa sama pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Joel Chua.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh 14 Julai sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah kerana memiliki bahan-bahan lucah dalam telefon bimbit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Kesalahan didakwa dilakukan di di Taman Jati Hang Tuah Jaya, di sini, pada 31 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,500 dan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.