Hakim Danish ubat kecewa di Itali

Hakim Danish (dua dari kiri) menamatkan Perlumbaan 2 Red Bull Rookies Cup di tempat keenam dekat Mugello pada Ahad. - Foto Agensi
Hakim Danish (dua dari kiri) menamatkan Perlumbaan 2 Red Bull Rookies Cup di tempat keenam dekat Mugello pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli mengubat kekecewaan di Itali apabila kembali menampilkan aksi kompetitif setelah menamatkan Perlumbaan 2 Red Bull Rookies Cup di tempat keenam dekat Mugello pada Ahad.

Selepas gagal menamatkan perlumbaan pada Perlumbaan 1, Hakim mempamerkan pecutan meyakinkan, malah pada satu ketika mampu bersaing dengan kelompok depan untuk memperoleh penamat terbaik pada Perlumbaan 2.

“Saya membuat permulaan yang baik dan bersaing dengan kelompok hadapan. Pada bahagian 'chichane' di litar ini banyak kelemahan yang harus saya perbaiki.

“Pada pusingan terakhir, saya cuba bersaing untuk kemenangan dan podium, namun bukan rezeki. Saya akan terus berusaha dan jadikan keputusan ini sebagai sesuatu yang baik selepas beberapa perlumbaan sebelum ini tidak begitu baik,” katanya.

Keputusan tersebut membolehkannya memungut 10 mata berharga sekali gus kekal menghuni kelompok 10 terbaik setelah mengutip 56 mata selepas empat pusingan perlumbaan.

Seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril turut cemerlang apabila menamatkan kedua-dua Perlumbaan 1 dan 2 dengan mengutip mata.

Danial yang terpaksa berehat beberapa bulan sebelum ini kerana mengalami kecederaan, menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kelapan dan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-14.

“Ia bukanlah keputusan yang saya mahukan (Perlumbaan 2). Pada awal saingan, saya berada di kelompok hadapan, namun ada beberapa pelumba di hadapan terjatuh menyebabkan ada sedikit jurang dengan kelompok hadapan.

“Pada pusingan terakhir, ada sedikit kesilapan kerana 'shifter' saya sensitif dan membuatkan saya tertinggal sedikit jauh. Apa pun saya gembira dengan pungutan mata kedua-dua perlumbaan ini,” katanya yang ketika ini berada di tempat ke-16 setelah mengutip 23 mata.