PRN Kelantan: Pas jangka PH, UMNO beri tentangan sengit

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijangka memberi tentangan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan tidak lama lagi.

Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PN tidak pernah memandang mudah kepada 'musuh' mereka.

Sehubungan itu katanya, Pas dan rakan gabungannya kini sedang menyusun strategi dan sebahagian gerakan sedang berjalan dalam menghadapi tentangan pihak lawan.

"Tidak mudah bagi mengatasi mereka kerana bagi kita setiap kali pilihan raya memang perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kita tidak pandang mudah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, tentangan juga sengit berikutan pertembungan dua penjuru selepas UMNO kerjasama dengan PH.

Mengulas lanjut, beliau berkata, parti lawan membangkitkan isu lama yang dikitar semula.

"90 peratus isu yang dimainkan dikitar semula dan sudah dijawab dengan penjelasan sebelum ini.

"Mereka mahu mencari perkara negatif dan bukan untuk mencari jawapan," katanya.