Kereta bertembung, wanita sarat mengandung terselamat

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan pemandu lelaki yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Lalang, Semenyih pada Isnin.
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan pemandu lelaki yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Lalang, Semenyih pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita sarat mengandung terselamat, manakala seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandu mereka bertembung di Jalan Kampung Sungai Lalang, Semenyih di sini, pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada jam 7.02 pagi.

"Seramai lima anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi dalam tempoh lapan minit, kita mendapati dua kereta bertembung iaitu sebuah kereta Honda City dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dan sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 30-an," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamadul Ehsan berkata, wanita itu tidak mengalami kecederaan manakala mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu.

"Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut," katanya.