TFC kemuka aduan kepada FAM

TFC akan menghantar laporan kepada FAM berhubung mutu pengadilan Mohd Fusser Mad Sallih. (Gambar kecil: Ab Rasid) - Foto Facebook Terengganu FC
TFC akan menghantar laporan kepada FAM berhubung mutu pengadilan Mohd Fusser Mad Sallih. (Gambar kecil: Ab Rasid) - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) akan menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan Mohd Fusser Mad Sallih.

Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengulas insiden kad merah diterima skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner semasa melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jumaat.

Steinbruckner sebelum itu menyifatkan kad merah kedua diterima pasukan tuan rumah bagaikan membunuh rentak para pemainnya dalam memburu gol penyamaan ketika berdepan anak buah Estaban Solari.

Malah menurut Steinbruckner, beraksi dengan sembilan pemain berbanding 11 pemain lawan dalam 20 minit terakhir ternyata amat menyukarkan buat skuad Peteh Ganu Peteh tersebut.

“Saya dan pasukan teknikal akan melihat terlebih dulu laporan daripada ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner.

“Ini termasuk video performance analysis, komen-komen termasuk pengacara dan sebagainya hari ini sebelum menghantar laporan lengkap kepada FAM untuk tindakan lanjut,” kata Rasid pada Ahad.

Dalam masa sama Ab Rasid percaya orang ramai khasnya komuniti bola sepak kini lebih terdedah kepada perkara berkaitan peraturan bola sepak di era teknologi bermaklumat.

“Orang awam termasuk peminat, penyokong terutamanya lagi penggiat bola sepak sudah faham dan mengetahui aspek teknikal termasuk undang-undang permainan bola sepak.

“Jadi, semua orang boleh saksi dan buat ukuran sendiri mengenai mutu pengadilan perlawanan TFC menentang JDT pada Jumaat,” katanya.

Sebagai rekod, anak buah Steinbruckner yang ketinggalan 1-2 terpaksa beraksi sembilan pemain pada separuh masa kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin setelah Ivan Mamut menerima kad merah minit ke-52 selepas Argzim Redzovic sebelum itu dilayangkan kad kuning kedua.