RTG: Kekal, gugur bincang minggu depan

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KEPUTUSAN sama ada menggugurkan atau mengekalkan senarai atlet yang kini berada dalam program Road To Gold (RTG), akan dibincangkan jawatankuasa program berkenaan pada mesyuarat kedua yang dijadual minggu depan.

Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Sekretariat RTG, bakal membentangkan laporan berhubung prestasi semasa atlet, sebelum jawatankuasa memutuskan sama ada mahu menggugurkan atau membawa masuk atlet baharu, dalam program tersebut.

“Sebagaimana kita tahu, RTG ada kriteria perlu dipenuhi untuk penerimaan dan pengguguran setiap atlet, mereka juga tahu. Prestasi semasa ialah penting bagi membolehkan mereka kekal dalam RTG.

“Bukan saya buat keputusan mengenai senarai atlet RTG, tetapi kita akan kemukakan prestasi semasa atlet dan Jawatankuasa akan buat keputusan untuk gugurkan atau terima atlet baharu dalam RTG,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet yang membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023, Jerman, di Kuala Lumpur pada Ahad.

Atlet negara yang berhasrat beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024 masih berpeluang untuk membuktikan kemampuan memandangkan kelayakan ke temasya empat tahun sekali itu baru sahaja bermula bagi sukan-sukan tumpuan Malaysia seperti badminton dan berbasikal trek.

Namun, baru-baru ini beberapa atlet yang berada dalam program RTG, mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan seperti beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sehingga tercicir daripada kedudukan 10 teratas dunia, sekali gus menimbulkan persoalan.

Justeru, Stuart berkata, tidak semua atlet yang tidak berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia perlu dikeluarkan daripada senarai RTG, mengambil kira terdapat atlet yang turun kedudukan mereka disebabkan mengalami kecederaan.

“Semua perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti. Saya bukan orang teknikal, jadi tidak boleh beri banyak komen mengenai perkara tersebut. Atlet tahu mengenai perkara ini kerana mereka sudah bersetuju dengan kriteria penerimaan dan pengguguran daripada RTG,” jelasnya. - Bernama