Vida mahu kembalikan kegemilangan Kelantan FC

Vida
Vida
A
A
A

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida berjanji mengembalikan semula kegemilangan Kelantan FC sekiranya mengambil alih kelab itu daripada Norizam Tukiman.

Menurut Vida, dia mahu memastikan The Red Warriors (TRW) tidak terus berada di kedudukan tercorot liga selain mampu bersaing dengan pasukan lain.

“Kepada peminat bola sepak Kelantan FC, saya mengharapkan pasukan ini mampu meningkat ke tahap yang lebih tinggi dan saya berharap pemilik semasa kelab mampu melakukannya dan jika tidak, serahkan kepada saya.

“Jika saya meminta untuk mendapatkan kelab ini, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Saya ingin memberitahu jika mereka mampu untuk terus memacu kelab, silakan dan jika tidak, saya sedia menerima dan terus meningkatkan lagi pasukan ini.

“Saya mahu cuba untuk membawa pasukan ke tahap yang sepatutnya, bukannya berada di kedudukan yang tercorot,” katanya dalam satu rancangan di Astro Arena pada Sabtu.

Sebelum ini, Vida yang pernah menaja Kelantan FC pada 2016 menyuarakan hasrat untuk mengambil alih pasukan itu yang ketika ini berdepan beberapa masalah dalaman.

Dia juga mempunyai perancangan untuk meletakkan anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau dikenali sebagai Kacak selaku pengurus pasukan.

Malah, Vida juga mengakui mempunyai dana untuk kelab itu selama 10 tahun sekali gus cukup untuk memacu pasukan ke arah yang lebih baik.

Mengulas mengenai dana tersebut, Vida juga menegaskan bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapan ketika menjadi penaja Kelantan FC pada 2016.

“Di bawah pengurusan baharu, saya tidak akan mengulangi apa yang dilakukan sebelum ini, dengan meletakkan pemasaran nombor satu dan kelab nombor dua. Corak pimpinan kali ini sudah berubah dengan meletakkan keperluan dan tuntutan kelab menjadi keutamaan.

“Saya percaya dengan pengalaman saya serta pasukan di belakang saya, jika diberikan peluang untuk sekali lagi memimpin kelab ini, saya percaya kejayaan akan kembali hadir buat pasukan Kelantan,” katanya.