Semua perlawanan tidak mudah - Faisal

Pasukan Harimau Malaya melakukan sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus, pada Sabtu.
Pasukan Harimau Malaya melakukan sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus, pada Sabtu.
A
A
A

PEMAIN sayap kanan Harimau Malaya, Faisal Halim tidak memandang rendah kekuatan pasukan lawan yang akan beraksi dalam perlawanan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu Rabu ini.

Malah pemain Selangor FC itu menyifatkan semua perlawanan adalah tidak mudah walaupun beliau kembali beraksi semula di padang yang sama ketika bersama dengan Terengganu FC (TFC) pada musim lalu.

"Semua perlawanan bukan mudah untuk pasukan kebangsaan kerana semua pasukan yang datang mempunyai bakat dan level (tahap) masing-masing, cuma kualiti pemain yang membezakan.

"Namun, dari segi taktikal 'coach' kita yakin kita mampu buat sesuatu dalam perlawanan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Kembali beraksi di Terengganu sebagai pemain bagi pasukan kebangsaan, Faisal yang lebih mesra digelar 'Mickey' berkata, dia akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang ada sebelum ini untuk memberikan aksi terbaik buat pasukan.

"Tak kisahlah saya bermain di mana, sebagai pemain Harimau Malaya, kita amat harapkan sorakan dan dan sokongan terbaik daripada rakyat Terengganu.

"Sudah tentu saya akan manfaatkan pengalaman saya sebelum ini bermain sebagai pasukan Terengganu dan bermain di Gong Badak selama dua tahun dan sekarang kembali bermain untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan yang terbaik di seluruh Malaysia, sudah tentunya persembahan juga lebih meningkat.

"Banyak aspek yang penting dalam perlawanan kali ini, bukan hanya faktor fizikal taktikal coach dan kerjasama dalam rakan sepasukan juga penting," ujarnya.

Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Shahrul Saad berkata, beliau yakin pasukan itu mampu memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan kali ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, persefahaman yang baik dalam kalangan pemain menguatkan lagi bentuk kerjasama mereka dalam satu pasukan.

"Bagi saya panggilan untuk perlawanan kali ini tiada sebarang masalah. Kami boleh nampak ada 'bonding' antara satu sama lain dan itu yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.

"Sebelum ini masing-masing beraksi dalam liga dan telah dipanggil untuk pasukan kebangsaan. Tiada masalah kerana kita di sini bukan bermain untuk mana-mana pasukan, kita bermain untuk pasukan kebangsaan dan mencari peluang yang terbaik,"katanya.

Selain berdepan Kepulauan Solomon, Harimau Malaya juga dijadualkan menentang Papua New Guinea di vanue sama pada 20 Jun ini.