'Ronaldo terlalu mahal'

RONALDO
RONALDO
A
A
A

SPORTING Kansas City tidak akan membuat sebarang langkah menandatangani Cristiano Ronaldo dalam usaha bersaing dengan Inter Miami yang membawa masuk Lionel Messi untuk beraksi di Liga Bola Sepak Utama Amerika Syarikat (MLS).

Sebelum ini, Sporting berminat untuk mendapatkan Ronaldo selepas pemenang Ballon d'Or lima kali itu meninggalkan Manchester United akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak MLS tidak dapat membuat perjanjian yang mampu menyaingi tawaran diterima Ronaldo daripada kelab Arab Saudi, Al Nassr.

Messi disahkan akan menyertai Miami pada musim ini, namun pengendali Sporting Peter Vermes tidak melihat peluang untuk menandatangani Ronaldo.

“Tidak, dia telah berada bersama Al Nassr selama dua tahun dengan sejumlah wang yang besar. Saya rasa yuran perpindahan akan berada di luar kemampuan kami.

“Pada masa kami terfikir untuk melakukan perjanjian itu, (Messi ke Miami) adalah di luar jangkaan kerana ada cakap-cakap mengenai dia akan ke Miami pada penghujung piala dunia. Hakikat bahawa (Messi) akan datang ke sini adalah luar biasa,” katanya.

Vermes turut mengakui teruja melihat Messi datang ke MLS dan membandingkan ikon Argentina itu dengan bintang NBA Michael Jordan.

“Saya fikir apabila David Beckham datang ke liga dia mempunyai impak yang luar biasa pada liga kami, dan kemasyhuran ke seluruh dunia.

“Messi adalah pemain terbaik di dunia dan untuk mempunyai pemain terbaik di dunia bermain dalam liga ini adalah sangat hebat. Ia seperti menonton Michael Jordan bermain bola keranjang,” katanya.