Wanita trauma tergigit dawai dalam makanan

Seorang wanita hampir tercekik dawai berukuran 3cm yang terdapat dalam Takoyaki. - Foto Facebook Michelle Wong
Seorang wanita hampir tercekik dawai berukuran 3cm yang terdapat dalam Takoyaki. - Foto Facebook Michelle Wong
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita hampir tertelan dawai berukuran tiga sentimeter (cm) yang terdapat dalam makanan, namun berjaya diluahkan semula.

Seorang pengguna Facebook, Michelle Wong yang berkongsi kisah tersebut memberitahu, kejadian itu menimpa anak saudaranya yang membeli hidangan Jepun melalui aplikasi pesanan penghantaran makanan pada 1 Jun lalu.

Hidangan tersebut untuk dimakan bersama anak perempuannya berusia dua tahun.

“Sebaik sahaja menggigit makanan berkenaan, anak saudara saya merasakan sesuatu yang keras dan apabila melihat semula juadah berkenaan terdapat satu dawai berkarat kira-kira 3cm di dalam salah satu Takoyaki.

“Tidak seperti waktu lain, anak perempuannya itu sering memasukkan makanan terus ke dalam mulut dan mujur kali ini dia selamat,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Jelas Michelle, ibu dan kanak-kanak berkenaan kini mengalami kebimbangan dan berhadapan dengan gangguan mental sehinggakan kedua-dua mereka tidak bersedia lagi untuk makan makanan tengah hari.

Tambahnya lagi, dia dan keluarga cuba untuk memaklumkan kepada peniaga tentang kejadian itu, namun tidak berjaya.

“Kami ingin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jknselangor.moh.gov.my mengambil tindakan terhadap mereka kerana keselamatan makanan amat penting,” tegasnya.