Wanita PKR sasar lapan kerusi PRN Selangor

Juwairiya (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita PKR Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.
Juwairiya (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita PKR Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan seramai lapan calon wanita diketengahkan untuk bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata, sayap PKR itu telah berbincang dan bersetuju untuk meletakkan sasaran lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Kita mempunyai ramai pimpinan wanita yang berpotensi (untuk diketengah sebagai calon PKR) di negeri Selangor.

"Kalau di negeri lain, kita tidak cukup kerusi, tetapi di negeri Selangor kita boleh beri lebih daripada 30 peratus," katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati berkata, semangat wanita di negeri Selangor amat tinggi agar mereka diberi peluang untuk dipilih sebagai calon pada PRN.

"Kita amat berharap kepimpinan negeri dan Pusat dapat memberikan ruang serta peluang sewajarnya kepada pimpinan wanita di negeri Selangor lebih-lebih lagi kita telah pun berada (memerintah) di sini selama tiga penggal," ujar beliau.

Menurut beliau, sepanjang perkhidmatan ADUN Wanita PKR di negeri Selangor, mereka juga telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh tiga penggal lalu.

"Kita telah membuktikan khidmat bakti kepada rakyat sehingga mereka meneruskan kepercayaan untuk memilih PH (Pakatan Harapan) dalam pilihan raya," ujarnya.