Kipyegon terkejut pecah rekod dunia

Kipyegon
Kipyegon
A
A
A

PELARI Kenya, Faith Kipyegon mengakui terkejut apabila mencipta rekod baharu acara 5,000 meter (m) wanita saingan Liga Berlian Paris di Stadium Charlety, Paris pada Sabtu, kategori yang tidak pernah ditandinginya sejak lapan tahun lalu.

Seminggu selepas memecahkan rekod dunia dalam acara 1,500m wanita, atlet berusia 29 tahun itu mempamerkan persembahan menakjubkan untuk meleburkan rekod milik wakil Ethiopia, Letesenbet Gidey.

Kipyegon memintas Gidey dengan baki kira-kira 700m untuk melepasi garisan penamat dalam masa 14 minit 5.20 saat.

"Saya tidak tahu bagaimana boleh berjaya melakukannya. Saya hanya fokus pada lampu hijau dan cuba untuk kekal santai serta menikmati sepanjang perlumbaan tersebut.

"Saya hanya mengharungi perlumbaan dan mahu melihat apa yang berlaku, apabila saya melihat bahawa ia adalah rekod dunia saya sangat terkejut," kata juara Olimpik dua kali itu.

Sebagai rekod, rekod Gidey sebelum ini ialah 14:06.62 saat dilakukan di Valencia pada 7 Oktober 2020.

Dalam pada itu, Kipyegon sememangnya mengharapkan dapat mengakhiri perlumbaan tersebut dengan kenangan terindah.

"Ini semua berkaitan dengan memberikan yang terbaik. Saya hanya mahu memperbaiki rekod peribadi terbaik, rekod dunia bukan dalam perancangan. Saya hanya mengejar Gidey, dia seorang wanita yang luar biasa. Ia menakjubkan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya, kerana masih perlu berbincang dengan jurulatih dan pengurusan saya.

"Saya sangat gembira, sangat beremosi sekarang dan tidak tahu apa yang perlu hendak dikatakan. Jika badan saya sihat, apa-apa sahaja mungkin," kata ibu kepada Kipyegon seorang anak perempuan bernama, Alyn.

Terdahulu aksi Liga Berlian Florence, Kipyegon mencipta rekod dunia baharu acara 1,500m apabila melakar masa 3:49.11s untuk memecahkan catatan 3:50.07s milik pelari Ethiopia, Genzebe Dibaba pada 2015.