Kim Swee berang Sabah tewas lagi

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

RIAK kecewa pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee jelas ketara selepas pemainnya tewas mengejut kepada PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Khamis.

Menurut Kim Swee, pemain perlu menyalahkan diri sendiri dan perlu mengambil iktibar bagi mengelakkan lebih banyak kekalahan dialami skuad The Rhinos dilaman lawan selepas turut tewas kepada Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman Jumaat lalu.

"Satu keputusan yang mengecewakan, prestasi yang kurang memuaskan, semua pemain harus menyalahkan diri sendiri.

"Kita harus mengambil iktibar dari perlawanan ini kerana pasukan Sabah tidak boleh benarkan kekalahan demi kekalahan terutamanya di tempat lawan khasnya pusingan kedua dalam memastikan pasukan ini berada dalam kelompok terbaik

"Sekiranya pemain Sabah masih gagal mendapatkan keputusan yang baik terutama dalam perlawanan di laman lawan, saya percaya pasukan Sabah akan ketinggalan selepas ini," katanya.

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya itu, pasukan pelawat dilihat agak bergelut untuk beraksi baik dengan gol tunggal daripada pemain PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi membuatkan Sabah pulang hampa.

Dalam pada itu, Kim Swee menafikan isu luar padang yang menimpa pasukan itu menjadi punca Sabah tewas.

"Semua pihak harus menghormati kedua-dua pihak apatah lagi ia membabitkan hal peribadi. Apa yang berlaku itu adalah luar kawalan kita, jadi mereka harus cari jalan menyelesaikan masalah masing-masing.

"Tumpuan saya adalah kepada persembahan kita dan prestasi semasa yang agak membimbangkan. Untuk itu, beberapa pertukaran akan berlaku," katanya.

Sebelum ini, seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.

Walaupun identiti pemain itu tidak didedahkan, namun didakwa beraksi untuk Sabah pemain itu juga tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ataupun di bangku simpanan ketika berdepan PDRM FC.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan pemain bola sepak cederakan kekasih