Pergelangan tangan anak putus digigit dubuk di zoo

Mangsa didukung bapanya selepas selesai menjalani pembedahan di Institut Traumatologi dan Pemulihan Ortopedik Kebangsaan (NITOR) di Sher-E-Bangla Nagar. - Foto Agensi
Mangsa didukung bapanya selepas selesai menjalani pembedahan di Institut Traumatologi dan Pemulihan Ortopedik Kebangsaan (NITOR) di Sher-E-Bangla Nagar. - Foto Agensi
A
A
A

DHAKA - Kunjungan sebuah keluarga ke Zoo Negara Bangladesh di Mirpur berakhir tragedi, apabila seorang daripada mereka iaitu kanak-kanak berusia dua tahun putus pergelangan tangan akibat digigit dubuk.

Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Mafizur Rahman berkata, kejadian malang itu berlaku sekitar jam 11 pagi (waktu tempatan).

Menurutnya, mangsa berkunjung ke zoo tersebut bersama ibu serta lima saudara dari Gazipur pada sebelah pagi.

Tambah Mafizur, kanak-kanak lelaki itu telah dikejarkan ke Institut Traumatologi dan Pemulihan Ortopedik Kebangsaan (NITOR) di Sher-E-Bangla Nagar untuk rawatan.

"Kandang yang menempatkan dubuk itu dilengkapi dengan jeriji keselamatan setinggi tujuh kaki.

"Kami masih meneliti sama ada faktor kecuaian menjadi punca kepada serangan dubuk di zoo tersebut," ujarya.

Ibu mangsa, Shiuli Begum pula menyalahkan pihak pengurusan zoo atas kejadian itu.

"Anak saya telah kehilangan pergelangan tangan kanan dan cacat untuk seumur hidup.

"Ia berlaku kerana kecuaian pihak zoo," katanya.

Sementara itu, pengarah zoo, Mohammad Rafiqul Islam menegaskan, insiden tersebut dapat dielak sekiranya wanita tersebut mematuhi arahan untuk tidak melepasi halangan keselamatan dan menghampiri kandang haiwan berkenaan.

"Apa pun, kami telah melancarkan siasatan segenap aspek termasuk meniliti kecuaian di pihak keluarga mangsa atau kakitangan di zoo ini," ujar Mohammad Rafiqul.

Berdasarkan keterangan beberapa saksi, kanak-kanak itu memasukkan tangannya di celah jeriji keselamatan sebelum disambar dan digigit dubuk yang berada di dalam kandang.

Dubuk tersebut hanya melepaskan gigitan apabila pergelangan tangan mangsa putus. - Agensi