Pura-pura nak beli sebelum larikan IPhone 11

Lelaki berusia 24 tahun yang ditangkap kerana mencuri sebuah telefon IPhone 11 dari sebuah premis di sebuah pasar raya di bandar Kluang.
Lelaki berusia 24 tahun yang ditangkap kerana mencuri sebuah telefon IPhone 11 dari sebuah premis di sebuah pasar raya di bandar Kluang.
A
A
A

KLUANG - Berpura-pura mahu membeli telefon bimbit sebelum bertindak melarikan sebuah IPhone 11 di sebuah pasar raya di bandar ini pada Khamis.

Bagaimanapun suspek berusia 24 tahun itu berjaya diberkas polis di rumahnya hanya kira-kira 12 jam selepas melarikan telefon bimbit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu berjaya dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan premis.

"Hasil siasatan, suspek datang ke premis berkenaan dan meminta pembantu kedai memberikan telefon IPhone 11 berwarna putih yang dipamerkan kononnya untuk melihat.

"Bagaimana secara tiba-tiba suspek lari keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran seterusnya meninggalkan pasar raya berkenaan dengan motosikal yang diletakkan di hadapan pintu masuk.

"Cubaan pembantu kedai untuk mengejar turut gagal sebelum semakan melalui CCTV berjaya mengenal pasti suspek menggunakan motosikal ketika melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Bahrin, selepas menerima laporan daripada pembantu kedai berkenaan pada jam 8 malam, sepasukan pegawai dan anggota melancarkan gerakan sebelum berjaya menangkap suspek di rumahnya pada jam 1.45 pagi Jumaat.

"Hasil tangkapan ke atas suspek, pihak polis berjaya merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 warna biru bersama sebuah telefon bimbit iPhone 11 warna putih," katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membolehkan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Semakan ujarnya, turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod dadah, bagaimana pun ujian saringan air kencing negatif.

Tambah Bahrin lagi, hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri telefon IPhone 11 di premis berkenaan dan direman selamat empat hari sehingga 12 Jun.