Serah pada PM, TPM muktamad 3 kerusi belum selesai di Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SABAK BERNAM - Sekurang-kurangnya tiga kerusi lagi belum diselesaikan hasil rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan berhubung kesemua kerusi berkenaan diserahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk membuat keputusan.

"Pendirian PH hanya PM (Perdana Menteri) dan TPM (Timbalan Perdana Menteri) memutuskan (dua atau tiga) kerusi terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, PH yang bermesyuarat pada Rabu lalu telah berjaya memuktamadkan 90 peratus berhubung pembahagian kerusi di negeri ini.

"Daripada 83 peratus sebelum ini, kita telah banyak selesaikan dan daripada tujuh belum selesai, hanya tinggal dua atau tiga kerusi sahaja lagi," jelas beliau

Menurut Amirudin, mengambil contoh di utara Selangor dari Sabak Bernam hingga ke Kapar, hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) belum diselesaikan, manakala satu daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Kuala Selangor masih dalam rundingan antara BN dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"PKR (Parti Keadilan Rakyat) bertanding dua kerusi DUN (di Parlimen Kuala Selangor), manakala sebelum ini di DUN Jeram dimenangi Bersatu tetapi (keluar daripada PH).

"Apabila Bersatu tidak lagi bersama PH, maka Amanah menjadi penyelaras di DUN Jeram, manakala BN pernah menang di DUN itu pada pilihan raya 2008 dan 2013," katanya.