'Saya tahu isu Azizuhasni-MSN' - Stuart

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KEBIMBANGAN dan ketidakpuashatian dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang diharapkan dapat diselesaikan ketika mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold (RTG) yang akan diadakan dua minggu lagi.

Koordinator program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, dia tahu mengenai isu dihadapi juara keirin dunia 2017 itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan berharap keputusan dapat dibuat ketika mesyuarat itu.

Menurutnya, RTG telah ditubuhkan terutamanya bagi menyelesaikan kesemua 'halangan' dihadapi para atlet yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

“Saya tahu isu yang dihadapi Datuk Azizuhasni dengan MSN. Ini merupakan sebahagian daripada kompilasi isu dan permintaan daripada kesemua atlet yang saya telah lengkapkan selepas mesyuarat dengan kesemua atlet RTG.

“Malangnya beberapa isu lama seperti dalam kes ini yang telah pun bermula satu setengah tahun lalu antara Azizulhasni dan MSN yang memerlukan saya (sebagai penyelaras) mendapatkan butiran berkaitan daripada pelbagai pihak sebelum dibawa ke Jawatankuasa untuk pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, The Pocket Rocketman melahirkan rasa kecewa terhadap MSN atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai sejak awal tahun ini.

Katanya, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun lagi.