Zahid ucap selamat maju jaya kepada 10 ‘warlord’ UMNO

Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] UMNO mengucapkan selamat maju kepada 10 ‘warlord’ daripada parti itu yang didakwa akan menyertai blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu sememangnya telah dijangka sejak awal lagi.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka (10 warlord) berhasrat untuk menyertai parti-parti lain. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

“Insya-ALLAH bagi PRN di enam negeri nanti, kita akan menyusun gerak kerja bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan 10 ‘warlord’ daripada parti itu akan menyertai blok pembangkang dalam masa terdekat.

Pada 5 Jun lalu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO bakal menyertai gabungan itu sebelum PRN nanti.

Dakwa Razali, kesemua mereka yang terlibat adalah nama besar yang telah disisihkan daripada parti Melayu terbesar negara itu.

Sementara itu, ditanya sama ada penyertaan kumpulan ‘warlord’ tersebut bakal memberi kesan kepada parti, Ahmad Zahid menegaskan ia tidak berlaku sama sekali.

“Telah beberapa kali keadaan itu berlaku (pemimpin keluar UMNO), UMNO insya-ALLAH tetap UMNO dan rakyat khususnya orang-orang Melayu, Islam akan terus menyokong kita.

“Tetapi kita mesti (juga) melampiaskan soal fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang terkesan dalam pilihan raya yang lalu (agar parti terus utuh),” katanya.