688 pelajar SPM Pulau Pinang peroleh semua A

Abdul Rashid (dua dari kiri) bersama salah seorang pelajar terbaik SPM 2022 Pulau Pinang selepas sidang akhbar di Penang Free School pada Khamis.
Abdul Rashid (dua dari kiri) bersama salah seorang pelajar terbaik SPM 2022 Pulau Pinang selepas sidang akhbar di Penang Free School pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 688 daripada 19,499 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A manakala 19 pelajar berjaya memperoleh semua A.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 90.21 peratus iaitu peningkatan sebanyak 4.18 peratus berbanding 86.03 pada 2021.

Menurutnya, bagi gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.6 iaitu peningkatan 0.17 berbanding 4.77 pada tahun 2021.

"Sebanyak 15,479 orang calon daripada 17,692 orang calon (90.21 peratus) yang hadir menduduki peperiksaan layak mendapat sijil peperiksaan itu.

"Prestasi SPM 2022 mencatatkan peningkatan dari segi peratusan calon yang mendapat sijil di mana kita berjaya mencapai angka 90 peratus buat pertama kali dan juga peningkatan dari segi GPN," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2022 di Penang Free School (PFS) di sini pada Khamis.

Untuk rekod, seramai 17 pelajar memperoleh semua A+ pada dan 666 pelajar memperoleh keputusan semua A bagi tahun lalu.

Abdul Rashid berkata, sebanyak 24 buah sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapat sijil SPM.

"Bagi prestasi mata pelajaran pula, seramai 4,989 calon (29.23 peratus) yang menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu mencatatkan keputusan cemerlang manakala 16,344 (96.07 peratus) lulus subjek ini.

"Sementara itu, untuk mata pelajaran Sejarah pula, seramai 4,864 (28.39 peratus)mencatatkan keputusan cemerlang manakala 15,588 calon (90.99 peratus) calon lulus subjek berkenaan," katanya.