Peruntukan ikut bilangan penduduk, bukan politik

Steven Sim - Foto kredit Jabatan Penerangan Malaysia
Steven Sim - Foto kredit Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberian peruntukan yang disampaikan kepada setiap negeri adalah berdasarkan bilangan penduduk, bukan mengikut kecenderungan politik.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, sehubungan itu mana-mana negeri yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai maka peruntukan yang diberikan juga tinggi.

“Pemberian (peruntukan kerajaan) kepada negeri bukan setakat geran per kapita.

“Untuk tahun 2023, Kedah merupakan negeri ketiga yang menerima Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian Tahap) tertinggi selepas Kelantan dan Sabah.

“Kalau mengikut kiraan macam ini, memang tiada kaitan dengan politik,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) yang mempersoalkan pertimbangan serta usaha kerajaan dalam menghalusi semula geran per kapita berdasarkan Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ujar Steven, kerajaan negeri boleh membawa cadangan berhubung isu tersebut di Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang akan datang supaya perkara itu boleh diperincikan dengan lebih teliti.

“Saya setuju dengan hasrat Ahli Parlimen Pendang untuk mengkaji semula dan saya minta supaya mungkin perkara ini di sebelah kerajaan negeri, mereka boleh bawa ke perbincangan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang akan datang.

“Jadi kita bekerjasama, bukan sahaja nak membangunkan negara secara keseluruhan tetapi juga setiap negeri tak kira sama ada berpihak pembangkang atau kerajaan,” ujarnya.