Gubal undang-undang nyahkarbon perlu dipercepat

Rafizi menyampaikan ucapan pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
Rafizi menyampaikan ucapan pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penggubalan undang-undang nyahkarbon perlu dipercepatkan bagi mengawal selia sekali gus membolehkan pelaburan dalam aktiviti ekonomi hijau itu dijalankan di negara ini menjelang 2030.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peralihan kepada ekonomi hijau antara sasaran utama negara dalam usaha menarik minat lebih ramai pelabur untuk turut serta dalam membangunkan sektor berkenaan.

Jelas beliau, Terengganu berpotensi untuk membangunkan industri itu kerana memiliki banyak lapangan minyak yang sudah tidak digunakan dan boleh dimanfaatkan melalui kaedah teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

"Terengganu mempunyai potensi yang besar kerana salah satu komponen kepada peralihan tenaga atau teknologi hijau ialah bagaimana kita menyahkarbon kandungan karbon yang tinggi.

"Jadi, negara yang boleh menyahkarbon, ekonomi mereka akan dilihat berada didepan.

"Peluang yang ada di Terengganu ialah dengan kita suntik karbon dari persekitaran atau yang diimport dari negara lain untuk disuntik ke dalam telaga minyak yang sudah tidak dipakai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urusa (SLU) Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia kedua Belas 2021-2025 (KSP RMKe-12) bersama Kerajaan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Jelas Rafizi, berdasarkan perancangan sedia ada, fasiliti pertama yang dijangka akan membangunkan teknologi hijau itu ialah di Kerteh, Kemaman pada 2030.

"Jika sasaran ini boleh dicapai, industri minyak dan gas yang ada di Kerteh sekarang akan bertukar menjadi industri hijau dengan menggunakan telaga minyak sedia ada untuk menyimpan dan menyahkarbon.

"Sebab itu kita mahu percepatkan sebab satu perkara yang kita boleh buat ialah Kementerian Ekonomi dan kerajaan perlu percepatkan menggubal undang-undang untuk mengawal selia aktiviti nyahkarbon.

"Saya jangka jika sudah ada undang-undang, ia boleh dilaksanakan lebih awal iaitu pada 2028, katanya.