Van sekolah kemalangan, 5 murid luka terkena serpihan kaca

Keadaan motosikal dan van sekolah yang terbabit kemalangan. - Foto ihsan polis
Keadaan motosikal dan van sekolah yang terbabit kemalangan. - Foto ihsan polis
A
A
A

SEREMBAN - Seramai lima daripada 10 murid mengalami luka apabila van sekolah dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, kejadian jam 7.25 pagi itu dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 65 tahun dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, van tersebut telah membelok ke kanan simpang, namun sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri van.

"Kejadian itu mengakibatkan lima murid berusia enam hingga 12 tahun mengalami cedera luka kecil akibat terkena serpihan kaca," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban manakala pemandu van dan lima lagi murid tidak alami sebarang kecederaan.

"Penunggang motosikal berusia 17 tahun itu patah tangan kanan dan luka di bahagian kaki turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban di talian 06- 6033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Sek 43(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.