Lelaki maut tersepit pintu 'roller shutter'

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit pada pintu 'roller shutter'. - Agensi
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit pada pintu 'roller shutter'. - Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Seorang lelaki mati dalam keadaan cukup tragis apabila kepala dan sebahagian badannya tersepit pada pintu 'roller shutter' dalam kejadian di sebuah stesen tren bawah tanah di Belgium minggu lalu.

Insiden itu berlaku pada waktu awal pagi di Stesen Metro Rogier di tengah Brussels.

Pengurus stesen yang enggan dinamakan berkata, mangsa masuk ke kawasan itu sejurus sebelum pintu mekanikal 'roller shutter' tersebut dibuka.

"Kepala dan sebahagian dadanya tersepit sebaik sahaja 'roller shutter' tersebut dibuka menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa tergantung pada bahagian atas pintu mekanikal tersebut," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba, Walter Derieuw berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.30 pagi (waktu tempatan) dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa berjaya dikeluarkan namun usaha menyelamatkan nyawanya gagal membuahkan hasil.

"Kami masih menyiasat perkara ini, namun menurut rakan sekerja tragedi tersebut berlaku apabila pihak berkuasa menyedari peningkatan gelandangan di stesen metro sekitar Brussels.

"Kami percaya pintu automatik ini menyebabkan kaki tersangkut," katanya.

Insiden seumpama itu adalah kali keempat dilaporkan berlaku di stesen tren bawah tanah di bandar Brussles.

Pada 31 Mac lalu, bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang tersepit dan tergantung pada pintu 'roller shutter'.

Dua lagi insiden serupa direkodkan sebelum itu, namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa. - Agensi