Bapa maut, anak cedera kemalangan kereta terbalik

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ganesan dalam keadaan laju ketika cuba melintasi persimpangan lampu isyarat di Jalan Lencong Timur, di Sungai Petani kira-kira jam 5 petang Isnin. - Foto ihsan polis
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ganesan dalam keadaan laju ketika cuba melintasi persimpangan lampu isyarat di Jalan Lencong Timur, di Sungai Petani kira-kira jam 5 petang Isnin. - Foto ihsan polis
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki maut manakala anak lelakinya cedera dalam kemalangan kereta terbalik di Jalan Lencong Timur, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan kemalangan itu pada jam 5 petang.

Nahas melibatkan pemandu yang dikenali sebagai Ganesan Pannirselvan, 47 tahun, dan anaknya berusia 9 tahun, dari Taman Angsana Sari, di sini.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu Ganesan dalam keadaan laju ketika cuba melintasi persimpangan lampu isyarat di Jalan Lencong Timur.

“Dalam kemalangan itu, kenderaan dinaiki dua beranak itu sedang bergerak dari Lorong Kilang Halal Food Industries ingin membelok ke kanan menghala ke arah Kuil Sri Mariamman Devasthanam.

“Ketika pemandu ingin membelok, kenderaan hilang kawalan sehingga terbabas ke kiri jalan dan melanggar pagar besi penghadang jalan lalu terbalik,” katanya ketika dihubungi Awani.

Menurut Zaidy, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, anaknya mengalami kecederaan luka pada bahagian belakang kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Awani