Tingkatkan kecergasan Zii Jia ke tahap super fit

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Pekan
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

KEMEROSOTAN prestasi pemain perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia, hanya bersifat sementara, sebaliknya atlet berusia 25 tahun itu akan kembali semula menyerlah pada tahap terbaiknya.

Itu pandangan penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli yang percaya Zii Jia mampu melonjak kembali dalam kelompok terbaik dunia sekiranya pemain tersebut lebih bijak menggunakan kaedah yang betul.

“Ya, sememangnya ranking Zii Jia makin jatuh. Tapi saya yakin dia mampu melonjak kembali pada ranking teratas dunia sekiranya pendekatan kena caranya.

“Susun kembali program latihannya dengan adanya jurulatih sendiri Wong Tat Meng. Perbaiki segera kelemahan permainan yang turun naik dan tidak begitu konsisten.

“Paling penting adalah tingkatkan tahap kecergasan untuk berada pada tahap super fit,” katanya kepada Sukan Sinar menjelang Terbuka Singapura yang menyingkap tirai pada Selasa.

Zii Jia akan kembali menyingkap Siri Jelajah Dunia Berstatus Super 750 itu berdepan pemain nombor 26 dunia dari China, Weng Hong Yang di pusingan pertama.

Sebagai rekod, Zii Jia menghuni ranking nombor dua dunia pada Oktober tahun lalu sebelum jatuh ke kedudukan keempat Januari lalu. diikuti tangga kelapan awal bulan ini dan ke-10 sejak beberapa minggu lalu.

Kemerosotan ranking Zii Jia dilihat berpunca daripada prestasi tidak menentu dalam beberapa kejuaraan musim ini yang menyaksikan dia tersingkir di pusingan awal termasuk terbaharu pada Masters Malaysia, minggu lalu.

Anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah itu musim ini meraih pencapaian terbaik separuh akhir - Seluruh England dan Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Dalam pada itu, Pekan menyarankan Zii Jia supaya lebih selektif memilih kejohanan pada masa depan.

“Pilih kejohanan yang sesuai sahaja dan susun kembali jadual periodisasi latihannya supaya berada pada kemuncak prestasi tepat pada waktunya di Paris 2024 nanti.

“Jangan biarkan diri mudah ditewaskan oleh pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik. Sebaliknya biar mereka berasa gerun dan ingin mengelak untuk dijadualkan bertemu dengan beliau.

“Ambil serius untuk melakukan analisis terhadap setiap lawan yang bakal dihadapi, korban waktu untuk sesi ini, biarpun pemain itu akan dihadapi buat kali pertama.

“Paling penting sekali adalah, 'mindset' sebagai pemain profesional itu perlu betul-betul kukuh dan jauh berbeza dengan pemain-pemain lain yang bernaung di bawah persatuan sukan kebangsaan,” katanya yang percaya semua rakyat Malaysia bersetuju, Zii Jia pemain perseorangan terbaik yang di miliki Malaysia pada ketika ini.

TERBUKA SINGAPURA 2023 (SUPER 750)

Perseorangan Lelaki

Lee Zii Jia (Ranking 10)

Ng Tze Yong ( Ranking 24)

Cheam June Wei (Ranking 45)

Perseorangan Wanita

Goh Jin Wei (Ranking 30)

Beregu Lelaki

Aaron Chia/Soh Wooi Yik (Ranking 3)

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (Ranking 7)

Man Wei Chong -Tee Kai Wun (Ranking 22)

Beregu Wanita

Pearly Tan/M Thinaah (Ranking 11)

Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (Ranking 21)

Beregu Campuran

Goh Soon Huat -Shevon Lai Jemie (Ranking 7)

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (Ranking 18)

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (Ranking 20)