Gesa DAP mohon maaf, Lip Eng bidas MCA

Lim Lip Eng
Lim Lip Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang menggesa DAP supaya memohon maaf kerana pernah mengecam ahli MCA sebagai pengkhianat berikutan menerima adat resam dan pakaian seragam berlandaskan tradisi Melayu.

Menurutnya, perkara itu telah berlaku beberapa dekad lalu malah tuntutan dan kenyataan tersebut juga tidak masuk akal.

Beliau berkata, ia tidak memberi apa-apa kebaikan untuk kerjasama kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang terutama melibatkan rundingan pembahagian kerusi.

Justeru, Lip Eng berkata, sekiranya MCA melihat perkara sedemikian sebagai suatu isu perlu ditangani, maka rakyat Malaysia turut menunggu permohonan maaf susulan pemimpin parti itu memberikan sokongan penuh kepada seorang Perdana Menteri yang terlibat skandal besar.

"Semasa kemuncak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, pemimpin MCA telah memberikan sokongan penuh mereka kepada seorang Perdana Menteri yang terpalit dengan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.

"Sebenarnya, rakyat Malaysia masih menunggu MCA memohon maaf dan persoalannya sekarang, bilakah orang ramai akan mendapat permohonan maaf sebegitu?

"Jadi ini adalah masa terbaik untuk memberitahu kepada mereka, ini giliran anda pula (minta maaf), MCA!" katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, MCA menggesa DAP memohon maaf kerana pernah menggelar ahli parti itu sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat ekoran menerima adat resam dan pakaian seragam berlandaskan tradisi Melayu.

Lian Ker berkata, DAP telah pun memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak, UMNO dan beberapa parti lain namun tidak kepada MCA dan MIC.

Gesaan tersebut susulan laporan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri yang mana beliau akan mengenakan pakaian tersebut.

Sementara itu, Lip Eng berkata, sudah tiba masanya Kit Siang menerima gelaran Tan Sri atas sumbangannya dalam persada politik Malaysia diiktiraf.

"Lim Kit Siang adalah ahli politik yang berdedikasi dan tegas dalam memastikan Malaysia mampu bergerak maju dalam penyatuan.

"Tiada masa yang lebih baik untuk gelaran sebegitu diberikan kepada beliau," ujarnya.