Bagi alasan lupa, belum gaji - JPJ

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Ops Patuh di Plaza Tol Gombak, pada Sabtu. Foto: JPJ Selangor
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Ops Patuh di Plaza Tol Gombak, pada Sabtu. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

GOMBAK - Lupa dan belum gaji antara alasan lapuk diberi penunggang motosikal selepas dikesan tiada lesen memandu ketika operasi Ops Patuh di Plaza Tol Gombak di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi di laluan motosikal pada jam 10 pagi itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof.

Menurutnya, sepanjang operasi, sebanyak 87 motosikal telah diperiksa sebelum 40 notis dan 26 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai kenderaan dan tiada cermin sisi.

"Antara alasan yang diberi penunggang atas kesalahan tiada lesen dan cukai jalan mati ialah lupa, motosikal baharu dibeli, tunggu tukar nama serta belum gaji," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebanyak 87 motosikal telah diperiksa sebelum 40 notis dan 26 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Foto: JPJ Selangor
Sebanyak 87 motosikal telah diperiksa sebelum 40 notis dan 26 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Foto: JPJ Selangor

Beliau berkata, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan supaya sentiasa patuhi peraturan dan undang-undang yang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik dan mengamalkan pemanduan secara berhemah.

Katanya, penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.