Wanita 'kantoi' curi rantai leher kanak-kanak

Tangkap layar memaparkan seorang wanita (dalam bulatan) mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di hadapannya semasa di Karnival Jom Heboh, Shah Alam pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
Tangkap layar memaparkan seorang wanita (dalam bulatan) mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di hadapannya semasa di Karnival Jom Heboh, Shah Alam pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik seorang wanita mencuri rantai leher kanak-kanak di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Seksyen 13 di sini, terbongkar selepas tindakannya dirakam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, rakaman video mengenai tindakan suspek itu telah tular di media sosial.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, suspek telah mengambil rantai leher seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara memotong dengan sesuatu objek dan menarik rantai leher itu.

"Tindakan suspek itu telah dirakam ibu saudara kanak-kanak itu.

"Sejurus selepas kejadian suspek wanita tempatan berusia 35 tahun berjaya ditangkap di lokasi terbabit berdasarkan rakaman video terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, satu laporan polis juga telah dibuat pada jam 8.09 malam hari yang sama sejurus selepas kejadian curi itu.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai enam rekod lampau bersabit kes curi telah direman tiga hari sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohd Norazizi Samsuri di talian 014-9472881," ujarnya.