Syed Mokhtar panggil Anwar 'abang', dedah hubungan akrab

Syed Mokhtar
Syed Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mendedahkan beliau menggelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'abang' kerana keakraban hubungan mereka.

Tokoh perniagaan yang merupakan antara individu terkaya di Malaysia itu berkata, Anwar menjadi abang buatnya sejak bertahun-tahun lalu dan membantu menyelesaikan pelbagai isu untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk didiami.

"Hari ini merupakan adalah hari istimewa buat saya. Ini pertama kami saya menyampaikan ucapan (berhubung Anwar) di khalayak ramai. Saya minta maaf jika anda bosan tetapi saya rasa penting untuk berkongsi mengenai 'untold story' ini.

"Hari ini, saya ingin menceritakan pengalaman yang belum pernah diceritakan mengenai 'abang', di mana kali pertama saya berjumpa dengan beliau yang membawa harapan serta impian tinggi. Beliau yang saya anggap sebagai pembaca, pemikir dan berfalsafah.

"Beliau tidak lain tidak bukan ialah tetamu yang hadir, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sudah menjadi 'abang' kepada ahli perniagaan lain juga," katanya yang dianggap sebagai sekutu dekat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam Malaysia di ibu negara yang dirasmikan Anwar pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berkongsi lanjut tentang keakrabannya dengan Ahli Parlimen Tambun itu, Syed Mokhtar memberitahu, beliau pertama kali bertemu dengan Anwar pada 1984 yang ketika itu merupakan Menteri Pertanian.

Beliau menjelaskan, Anwar juga telah membuka peluang kepada golongan Bumiputera untuk mendapatkan sokongan melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB) ketika itu.

"Jika tidak kerana abang, tidak akan ada muzium, tak ada Albukhary yang menjadi tunggak kepada Yayasan Albukhary," ujarnya.

Menurut Syed Mokhtar, walaupun beliau dan Anwar mungkin mempunyai perbezaan tetapi masih wujud persamaan iaitu mereka sama-sama meminati perniagaan.

"Melalui perniagaan, kita mampu untuk melakukan amal dan membantu orang lain," tambahnya lagi.

Sementara itu, Anwar semasa menyampaikan ucapan perasmian memaklumkan, Syed Mokhtar bersetuju memberi bantuan menerusi Kerajaan Madani untuk membantu petani di negara ini.

Ujarnya, tokoh berpengaruh itu sangat baik hati walaupun berdepan dengan beberapa tindakan keras daripada kerajaan.

"Saya hanya menelefonnya (Syed Mokhtar) sehari selepas saya mengambil alih (jawatan Perdana Menteri), saya berkata 'abang' akan mencadangkan Bernas, (beri bantuan) yang menunjukkan bahawa kami kerajaan Madani membantu petani.

"Dia kata okay. Bulan November (saya minta), bulan Disember dia janji (bantuan) RM10 juta. Tahun 2023, dijanjikan RM50 juta (lagi) untuk diagihkan kepada pesawah miskin. Jadi, minat beliau bukan sahaja kepada seni, tetapi juga membantu orang miskin.

"Saya mampu buat (dapatkan bantuan RM60 juta daripada Syed Mokhtar) sebab dia 'adik' saya, saya mengetahui kecenderungan dia," beritahunya.