PH adakan mesyuarat tergempar?

Saifuddin beramah mesra bersama seorang mangsa banjir, Munah Khamis yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Karang di sini, hari ini.
Saifuddin beramah mesra bersama seorang mangsa banjir, Munah Khamis yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Karang di sini, hari ini.
A
A
A
KUANTAN - Selepas menyaksikan ramai wakil rakyat dan ahli Umno keluar daripada parti tersebut, PH akan membincangkan situasi politik terkini yang mungkin disertai oleh mereka yang keluar parti.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya akan berbincang lagi dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH walaupun perkara ini pernah dibincangkan sebelum ini.

“Saya yakin apa yang berlaku ini ada dalam pengetahuan pucuk pimpinan setiap parti di dalam PH dan saya yakin mereka bijak untuk membuat keputusan mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya media berkenaan sama ada PH akan menerima wakil rakyat, pemimpin dan ahli Umno yang keluar daripada parti itu.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan bahawa Umno Sabah menerima tamparan hebat apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik Bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua Umno Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai Umno Bahagian Pensiangan.

Di samping Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat untuk keluar dari Umno untuk bersama kumpulan terbabit.

Artikel Berkaitan: