TMJ tenangkan Permaisuri Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menenangkan bondanya yang melahirkan kerisauan selepas anakanda itu dicerca dan diperli susulan perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa isu baru-baru ini.

Melalui ciapan di Twitter hari ini, Tunku Ismail bertitah: "Jangan risau Mama. Segala-galanya akan baik sahaja. Tidak kira betapa gelapnya ribut melanda, ia akan sentiasa ada sinar mentari. Ini janjiku kepadamu, wahai ibuku. ALLAH Peliharakan Sultan."

Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu dibuat selepas bondanya, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memuat naik status menerusi Facebook baginda yang menzahirkan rasa dukacita terhadap pihak yang tidak menghormati keluarga diraja Johor.

Antara perkongsian Raja Zarith Sofiah termasuklah mengenai perasaannya sebagai seorang ibu terhadap anakandanya yang dihina dan dikeji.

“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas terakhir dan melihatnya dikebumikan. Mungkin tidaklah salah jika saya rasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun.

“Kepada mereka, saya berdoa semoga ALLAH SWT mengurniakan taufik dan hidayahnya dan kepada mereka yang memberi nasihat kepada anak-anak saya, saya mengucapkan terima kasih dengan hati yang ikhlas,” titah Permaisuri Johor itu.

Pada tahun 2015, Raja Zarith Sofiah kehilangan anakandanya, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat akibat penyakit kanser.

Artikel Berkaitan: