Mayat reput dalam gulungan karpet

Wan Azharuddin
A
A

TAPAH - Mayat seorang lelaki lingkungan usia 20-an ditemui dalam keadaan hampir reput di lereng bukit berhampiran kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Lah, Chenderiang di sini semalam.

Mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemui selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau busuk di kawasan berkenaan pada jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui berbalut dengan karpet berwarna merah.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal mendapati bahagian kepala tinggal tengkorak manakala bahagian bawah badannya masih berisi dan berulat.

“Mayat tersebut ditemui selepas orang awam terhidu bau busuk dan memaklumkan perkara itu dengan menghubungi Balai Polis Chenderiang.

"Bagaimanapun, tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat atau kawasan sekitar," katanya di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, lokasi mayat tersebut terletak kira-kira 2 km dari jalan utama dan perlu berjalan kaki kerana keadaan laluannya yang berbukit.

“Kita mendapati tiada sebarang penempatan atau rumah kongsi berada di kawasan sekitarnya berikutan ia adalah kawasan hutan kebun sawit yang tidak diusahakan.

“Mayat tersebut dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat yang akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehinggalah punca sebenar kematian mangsa diperolehi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia