Arsenal sudah sampai prestasi kemuncak

Arteta mengemudi Arsenal di kedudukan kedua terbaik EPL musim ini.
Arteta mengemudi Arsenal di kedudukan kedua terbaik EPL musim ini.
A
A
A

BEKAS kapten berpengaruh Arsenal, Tony Adams memberi amaran bahawa The Gunners berada pada prestasi kemuncak selepas berakhir saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Malah menurut Adams, kedudukan pengendali Mikel Arteta juga berkemungkinan dalam keadaan bahaya musim depan selepas gagal memanfaatkan peluang mengakhiri kemarau kejuaraan utama kelab London tersebut.

"Mikel Arteta bekerja keras untuk membawa Arsenal di kedudukan kedua musim ini dengan barisan keupayaan para pemain dimiliki.

"Namun apabila seorang pengurus telah berprestasi secara besar-besaran dan meningkatkan jangkaan kelab dengan begitu tinggi, selalunya akan berlaku kemerosotan jika tahap kecemerlangan tidak dikekalkan pada musim berikutnya.

"Apabila situasi itu berlaku berkemungkinan seseorang pengurus itu akan meninggalkan kelab menjelang Krismas," kata Adams.

Arsenal mengakhiri saingan di tempat kedua EPL musim ini, penamat terbaik sensasi London tersebut sejak Arteta mengambil alih tanggungjawab sebagai pengendali.

Arsenal mendahului lapan mata daripada Manchester City pada awal kempen dilihat bakal menjulang trofi utama kejuaraan kelab England buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun.

Namun kemeruduman prestasi pada penghujung musim menyaksikan penyandang juara The Citizens kendalian Pep Guardiola kembali mengekalkan kejuaraan meninggalkan The Gunners menamatkan musim tanpa trofi.

Bagaimanapun Adams percaya situasi itu tidak akan menimpa bekas pemain Arsenal tersebut yang pernah membawa kelab berkenaan menjulang Piala FA pada 2019/20.

"Saya tidak mencadangkan The Gunners menyingkirkan Arteta, tetapi saya takut situasi ini boleh menjadi yang terbaik untuk pengurusan kelab.

"Tiada siapa yang menjangkakan Arsenal akan menamatkan saingan pada tahap begitu tinggi musim ini.

"Namun persoalan seterusnya kepada semua itu ialah ke mana mereka dari sini selepas ini? Saya benci untuk menyatakan ini, tetapi saya percaya bahawa pasukan ini telah mencapai kemuncaknya.

"Saya tidak fikir mereka akan sampai ke tahap itu lagi. Mereka pastinya tidak akan mencabar Manchester City musim depan dan tanpa pengambilan pemain yang serius pada musim panas ini," katanya.