Lapan pemilik motosikal bunyi 'bising' dikompaun

Antara motosikal yang diperiksa dalam operasi bersepadu (Ops Bunyi Bising) bersama Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibupejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada malam Isnin dan Selasa lalu.
Antara motosikal yang diperiksa dalam operasi bersepadu (Ops Bunyi Bising) bersama Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibupejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada malam Isnin dan Selasa lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan pemilik motosikal dikompaun selepas didapati gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS), Ramli Abd Rahman berkata, kesalahan itu dikesan menerusi dua operasi bersepadu (Ops Bunyi Bising) bersama Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada malam Isnin dan Selasa lalu.

Menurutnya, sebanyak 130 motosikal diperiksa dalam operasi yang dijalankan di Jambatan Sultan Mahmud dan Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus.

"Dalam operasi itu, sebanyak 130 motosikal telah diperiksa secara visual di mana 16 daripadanya telah menjalani ujian bunyi bising menggunakan meter bunyi bising.

"Daripada jumlah itu, lapan kompaun dikeluarkan terhadap pemilik motosikal kerana kegagalan mematuhi Standard B, Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, penguatkuasaan pelepasan bunyi bising daripada kenderaan bermotor dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 yang dikuat kuasa sejak 16 Julai 1987.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mengubahsuai ekzos motosikal sehingga menyebabkan pelepasan bunyi melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Had paras bunyi bising maksimum yang dibenarkan bagi motosikal dengan kaedah pengujian secara statik atau pecutan bebas (free acceleration) bagi motosikal dengan keupayaan enjin kurang daripada 90cc adalah 92dB (A) manakala bagi 90cc ke atas adalah 95dB(A).

"Pemilik kenderaan yang didapati melepaskan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000," katanya.