Jangan jual durian terlalu mahal

Mengambil kira tempoh pengeluaran hasil yang lebih panjang, rata-rata penggemar raja buah berharap peniaga tidak menaikkan harga secara keterlaluan.
Mengambil kira tempoh pengeluaran hasil yang lebih panjang, rata-rata penggemar raja buah berharap peniaga tidak menaikkan harga secara keterlaluan.
A
A
A

DI SEBALIK kesengsaraan akibat musim panas atau El Nino yang melanda negara pada ketika ini hingga September 2023 seperti yang dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia, ternyata memberi sedikit khabar gembira buat peniaga durian.

Bukan itu sahaja, sudah tentu penggemar raja buah itu dapat menikmati keenakannya dalam tempoh lebih panjang berbanding berbanding tahun-tahun sebelum ini kesan musim panas.

Semalam akhbar ini melaporkan musim durian dijangka mengeluarkan hasil sehingga pertengahan Oktober sekali gus membuka pintu rezeki lebih luas kepada pekebun serta peniaga durian.

Berkisar tentang penjualan raja buah itu, setiap tahun ada sahaja rungutan yang tidak sedap didengar terutamanya melibatkan harga jualannya.

Musang king dan black thorn yang menjadi kegilaan 'hantu durian' sebelum ini pernah mencecah harga RM60 hingga RM100 sekilogram.

Pun begitu pada penghujung tahun lalu, musang king yang menduduki tangga teratas penggemar durian negara dijual sekitar RM17 sekilogram.

Difahamkan pengeluaran durian musang king pada ketika itu adalah yang terbanyak dalam tempoh tiga tahun sehingga menyaksikan berlaku lambakan ketika puncak pengeluaran.

Jadi pada tahun ini, mengambil kira tempoh pengeluaran hasil yang lebih panjang, rata-rata penggemar raja buah berharap peniaga tidak menaikkan harga secara keterlaluan.

Pada masa sama, terdapat juga gesaan pihak berwajib melakukan pemantauan agar tiada pihak yang menjual durian dengan harga 'cekik darah'.

Jika kenyataan pekebun durian, Kelly Lim seperti disiarkan akhbar ini diambil kira, maka tidak akan timbul isu kenaikan harga yang mendadak.

Menurut Kelly, pengeluaran yang bertambah membolehkan peniaga menjual dengan harga lebih murah.

Jika ketika ini mereka menjual secara timbang kilo, mungkin selepas ini kata Kelly, peniaga akan menjualnya mengikut bilangan, misalnya RM10 untuk sebiji durian.

Penulis percaya, peniaga yang menjual durian pada harga lebih murah dan berpatutan masih mampu meraih keuntungan.

Apa pun, kepada peminat fanatik durian, biarpun tempoh pengeluaran hasil durian yang panjang berpada-padalah apabila menjamah buah ini.

Selain daripada gula yang tinggi, durian juga tinggi dengan kandungan potasium. Maka mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, haruslah mengelakkan pengambilan raja buah ini.