'Pas mimpi di siang hari' - Asmuni

Asmuni - Foto Facebook
Asmuni - Foto Facebook
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyifatkan kenyataan Pas mengenai tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan tidak ubah seperti bermimpi di siang hari.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, tiada sebab untuk parti itu ditarik menyertai kerajaan sedangkan gabungan sedia ada telah membuktikan mampu mencapai kestabilan politik yang kukuh.

"Ini semua lebih kepada mimpi mereka sahaja, benda tidak betul yang orang katakan mimpi di siang hari.

"Bila duduk di tempat pembangkang, memanglah satu keadaan yang kita tak sanggup nak hadapi, samalah keadaan ketika perpecahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) (Perak) dahulu.

"Tetapi tak adalah pula sampai kita mengigau tengah malam mencari helah untuk tarik sokongan (menjadi kerajaan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Asmuni, Pas sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan membenarkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berperanan sehingga tempoh penggal berakhir.

Kata beliau, sekiranya terdapat kegagalan, maka perlu dihadapi dalam suasana pilihan raya dengan membuat tawaran baharu yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

"Saya andaikan seseorang itu nak jawab peperiksaan, belum habis masa, kertas jawapan ditarik, jadi dah tentu tak boleh jawab. Apabila tidak berjaya, kita katakan orang itu gagal dan bodoh, mana boleh begitu.

"Bagi peluang kerajaan yang ada ini berfungsi sehingga akhir penggal, dah tentu pilihan raya akan datang kita hadapi, gentleman lah," katanya.

Ahad lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan pernah dihubungi beberapa kali daripada ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau bagaimanapun mempersoal tawaran itu dengan berkata ia sepatutnya memberi kelebihan kepada Pas kerana parti itu mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada parti lain.