Ahmad Zahid tak buat 'kerja rumah' - Khairil Nizam

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin menempelak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu 'perasan' apabila mendakwa ada pihak dalam kerajaan menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid itu menjelaskan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak membuat 'kerja rumah' dalam menjawab isu berkenaan.

"Hakikatnya Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput Pas menyertai Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

"Zahid perlu berhenti daripada menipu dan terus menipu ahli UMNO mahupun rakyat.

"Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli UMNO itu sejak sekian lama," katanya dalam siaran di Facebook pada Selasa.

Pada Sabtu, Abdul Hadi mendakwa ada pihak dalam kerajaan perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan tersebut kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kemudian membalas kenyataan Abdul Hadi pada Ahad dengan menyifatkannya sebagai ‘perasan’.