Pemain Sabah perlu ubah sikap - Kim Swee

Antara aksi menarik Sabah berdepan Kuala Lumpur City dalam suku akhir Piala FA di Stadium Likas. - Foto Sabah FC
Antara aksi menarik Sabah berdepan Kuala Lumpur City dalam suku akhir Piala FA di Stadium Likas. - Foto Sabah FC
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menuntut pemain-pemain The Rhinos mengubah sikap selepas ditunjukkan jalan keluar Kuala Lumpur City FC, 1-2 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas.

"Sabah tidak bermain seperti mana ketika sebelum pasukan menjaringkan gol. Selepas mendapatkan gol pertama kita mulai hilang fokus apabila membenarkan Kuala Lumpur menjaringkan gol.

"Separuh masa kedua Sabah berusaha kembali dalam permainan dengan menunjukkan kesungguhan, namun bagi saya semuanya telah terlewat apabila deretan peluang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol.

"Dalam tiga perlawanan sebelum ini selepas Sabah mendahului kita dibolosi, namun kali ini setelah dibolosi gagal mendapatkan kemenangan selepas itu," kata Kim Swee selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, anak buah Kim Swee terlebih dulu mendahului menerusi sepakan penalti Gabriel Peres seawal minit keenam.

Namun KL City kemudian bangkit lebih bertenaga menyamakan kedudukan menerusi Romel Morales (m-29) sebelum T Saravanan (m-44) memastikan The City Boys unggul di depan.

Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan akan menilai semula para pemain yang akan diturunkan selepas kekalahan kepada Kuala Lumpur City tersebut bagi perlawanan selepas ini.

"Saya percaya banyak bahagian pasukan Sabah yang perlu diperkemaskan selepas ini terutamanya selepas dibolosi dua gol setelah kita mendahului," katanya.