Siri Gerbang Puaka, K-Lit terlaris

ROZIYANA
ROZIYANA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berbaki enam hari sahaja lagi, Grup Buku Karangkraf mengajak orang ramai untuk mendapatkan koleksi buku-buku baharu dengan mengunjungi reruai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, menerusi jualan secara besar-besaran itu, orang ramai berpeluang untuk mendapatkan lebih 60 judul baharu yang terdiri daripada kategori novel, buku Islamik dan kanak-kanak.

“Istimewanya tentang reruai Grup Buku Karangkraf di PBAKL ini, kita memberikan diskaun 10 hingga 15 peratus untuk naskhah baharu itu dan promosi tersebut hanya terpakai sewaktu pesta buku berlangsung.

“Bukan itu sahaja, ada juga buku dijual serendah RM10 dan bagi mereka yang mencari al-Quran, kita turut menyediakan potongan harga 15 hingga 20 peratus”, katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, Roziyana turut memaklumkan mengenai buku yang paling laris dijual sepanjang empat hari PBAKL berlangsung, bermula 26 Mei hingga 4 Jun ini, ialah Siri Gerbang Puaka dan K-Lit.

Anis Syamila menunjukkan Siri Gerbang Puaka yang laris dijual di reruai Grup Buku Karangkraf, PBAKL kali ke-40.
Anis Syamila menunjukkan Siri Gerbang Puaka yang laris dijual di reruai Grup Buku Karangkraf, PBAKL kali ke-40.

Sementara itu, Penolong Pengurus Ketua Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, orang ramai yang membeli buku di reruai Grup Buku Karangkraf, berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah.

“Bagi aktiviti ini (cabutan bertuah) ia hanya boleh disertai oleh mereka yang membuat pembelian lebih daripada RM100. Sekiranya pembeli menghabiskan RM200, maka mereka layak untuk menyertai dua kali cabutan.

“Menariknya tentang aktiviti ini, mereka boleh terus membuat cabutan sebaik selepas pembelian. Kesemua pembeli tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana hadiah sememangnya tersedia. Cuma mereka perlu membuat cabutan untuk mengetahui hadiah yang dimenangi,” katanya ketika ditemui di PBAKL, pada Isnin.

Pada masa sama, Anis Syamila turut memaklumkan bahawa Grup Buku Karangkraf turut menyediakan Program Happy Hour yang berlangsung pada jam 1 hingga 2 petang sepanjang PBAKL diadakan.

Jelasnya, pengunjung yang membuat pembelian pada waktu itu berpeluang untuk menyertai satu permainan dengan menawarkan hadiah lumayan.