Soalan panas memang kesukaan saya - Salahuddin

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian merupakan medan yang baik untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menyampaikan maklumat dan menjawab persoalan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, meskipun kemungkinan soalan yang dilontarkan orang ramai nanti agak panas dan kontroversi tetapi beliau beranggapan ia sebagai cabaran malah bersedia untuk menjawabnya.

“Soalan panas memang kesukaan saya. Itu baharu cabaran. Soalan yang mungkin tidak terduga apatah lagi kontroversi memang perkara biasa untuk ahli politik.

“Kalau sudah berkecimpung dalam dunia ini, kita mesti bersedia, perlu tingkatkan pembacaan dan pengetahuan.

“Lagipun sebagai orang politik, kita perlu banyak bercakap dan berkomunikasi secara tidak langsung supaya banyak maklumat dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menyatakan keyakinan terhadap Sinar Harian sebagai platform media dalam mengendalikan interaksi antara rakyat dan menteri.

“Jadi mengapa tidak, saya menerima tawaran tersebut dengan penuh rasa bangga dan terhormat.

“Ini adalah masa untuk kita berinteraksi secara santai tetapi juga profesional. Ia merupakan peluang bagi KPDN menerangkan peranan atau isu yang sebelum ini kabur dan tidak difahami oleh rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, Program Town Hall itu juga merupakan medium terbaik untuk KPDN mengadakan pameran.

“Pengunjung boleh mendapat maklumat yang mungkin selama hari ini tidak mengenal rapat tentang peranan besar KPDN.

“Justeru, orang ramai bukan sahaja dapat menonton malah boleh melihat pameran yang disediakan oleh pihak kementerian,” tegasnya.