Town Hall rungkai permasalahan rakyat

Edisi keempat bersama KPDN bakal ketengahkan isu kepenggunaan, kos sara hidup.
Edisi keempat bersama KPDN bakal ketengahkan isu kepenggunaan, kos sara hidup.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat merupakan satu peluang bagi semua pihak bertanyakan soalan kepada menteri mengenai isu berkaitan rakyat, selain merungkai pelbagai permasalahan berlaku di negara ini.

Hos program berkenaan yang juga pelakon popular, Azhar Sulaiman berkata, Town Hall Rakyat bukan sahaja mendekatkan interaksi antara rakyat dengan menteri, malah dapat memberi jawapan kepada setiap persoalan rakyat yang ditanya secara eksklusif menerusi program itu.

“Saya begitu teruja untuk mengendalikan sesi Town Hall Rakyat edisi keempat bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kerana ia adalah peluang bertanya secara langsung kepada beliau tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan kementerian.

“Bagi sesi bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) ini, saya harap lebih ramai tetamu bertanyakan soalan khususnya tentang permasalahan dari segi kawalan barangan, kepenggunaan dan kos sara hidup tinggi serta adakah kerajaan gagal untuk tangani perkara tersebut atau masyarakat itu sendiri mempunyai masalah iaitu tidak berbelanja secara berhemah.

“Jadi, saya berharap untuk semua siri Town Hall yang telah diadakan ini memberi manfaat, selain merungkai serta menjawab kepada pelbagai permasalahan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Azhar, menggalas tugas sebagai hos bagi program tersebut merupakan satu penghormatan buat dirinya, selain tanggungjawab dalam mengendalikan program sedemikian perlu dilaksanakan dengan baik dan efisien.

Azhar
Azhar

Azhar berkata, hobinya yang suka membaca tentang hal ehwal semasa dan mengikuti perkembangan politik sedikit sebanyak telah membantu dirinya untuk menjadi hos yang mampu mengendalikan program berkenaan yang disiarkan secara siaran langsung.

“Saat paling manis bagi tiga episod sebelum ini adalah peluang saya temu bual secara siaran langsung bersama menteri kabinet. Jadi, saya diberi kebebasan untuk bertanya apa-apa sahaja soalan.

“Saya fokuskan soalan pertama berbentuk ice breaking dan kebiasaan soalan ditanya ada yang pendek, lucu dan lebih berat,” ujarnya.

Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Salahuddin akan dihoskan oleh Azhar secara langsung pada Isnin ini bermula jam 8.30 malam dan terbuka kepada orang ramai.

Sementara itu, pameran daripada agensi-agensi di bawah KPDN diadakan pada Isnin di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini bagi memberi lebih banyak informasi kepada orang ramai.

Antara agensi yang terlibat ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagi MyIPO, antara aktiviti diadakan seperti membuat pameran khidmat nasihat berkenaan harta intelek, pamplet komponen harta intelek, kuiz harta intelek berserta hadiah, selain pengenalan kepada Program Dana Harta Intelek untuk industri kecil dan sederhana (IKS).

MyCC pula akan mempamerkan bahan terbitan tentang fungsi suruhanjaya tersebut dan hadiah berbentuk merchandise akan diberikan kepada pengunjung jika berjaya menjawab kuiz.

Sementara itu, SSM mengadakan pameran untuk memberi lebih pendedahan kepada pengunjung mengenai peranan dan fungsi agensi-agensi di bawah KPDN, selain pendaftaran perniagaan, pengaktifan ID EzBiz serta skim pendaftaran percuma untuk B40 dan pelajar.