TPM, menteri ucap Selamat Hari Wartawan Nasional

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
A
A
A

IPOH - Jasa dan pengorbanan pengamal media kepada pembangunan negara serta masyarakat turut mendapat pengiktirafan para pemimpin negara.

Beberapa pemimpin negara menzahirkan penghargaan mereka terhadap sumbangan dan kerja keras wartawan dan pengamal media di negara ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi rakaman video di Facebook Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Ahad antara yang menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media.

"Kepada semua rakan wartawan yang sering menjadi wira tidak didendang, terima kasih atas segala sumbangan ke arah pembangunan negara dan masyarakat Madani.

"Teruslah berkarya dan menyajikan informasi yang berkualiti. Amalkan etika kewartawanan dalam persekitaran dunia tanpa sempadan ini. Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional daripada saya,” katanya.

Sambutan Hawana 2023 berlangsung tiga hari bermula Sabtu di sini dengan kemuncak perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching pula berkata, sumbangan wartawan dalam menyampaikan maklumat tepat dan pantas walau berdepan evolusi pendigitalan hari ini, sememangnya amat dihargai.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada agensi daripada Kementerian Komunikasi dan Digital khususnya Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang bertungkus-lumus menggerakkan penganjuran Hawana 2023 dengan sokongan pelbagai organisasi media tempatan dan antarabangsa serta rakan penaja.

"Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media dan terima kasih atas peranan penting anda dalam pembentukan negara,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman sosial Facebooknya turut mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media di Malaysia khususnya di negeri itu.

"Terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda dalam menyampaikan berita serta informasi terkini,” katanya. - Bernama