Buku cerita rakyat gaya baharu

Fatimah Rodhiah menunjukkan buku cerita rakyat yang ditulisnya ketika ditemui di PBAKL pada Sabtu.
Fatimah Rodhiah menunjukkan buku cerita rakyat yang ditulisnya ketika ditemui di PBAKL pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40, Grup Buku Karangkraf mengambil kesempatan menampilkan beberapa buku cerita rakyat dengan gaya lebih baharu kepada pengunjung.

Antara buku tersebut adalah bertajuk Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Badang dan Angan-Angan Mat Jenin.

Menurut penulis buku Badang, Fatimah Rodhiah Yusuf atau lebih dikenali sebagai Umi Danial, meskipun ia merupakan kisah dongeng rakyat dahulu kala yang sering didendangkan kepada masyarakat, namun karyanya itu menampilkan plot cerita yang cukup berbeza berbanding sebelum ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, kebiasaannya orang ramai dihidangkan dengan plot atau pengakhiran cerita yang lebih negatif atau tragis.

Bagaimanapun, beliau yang turut menulis buku Pak Kaduk itu berkata, penceritaan kisah-kisah itu telah diolah dalam bentuk yang positif kepada pembaca khususnya kanak-kanak.

“Kalau dahulu, apabila baca buku cerita terutamanya Badang dan Pak Kaduk, pembaca selalunya disajikan dengan plot penceritaan yang kadang-kadang nampak negatif atau pengakhiran yang menyedihkan.

“Contohnya, kenapa Badang perlu makan benda kotor atau muntah untuk menjadikannya lebih kuat? Kenapa kisah Pak Kaduk perlu berakhir dengan cerita penuh malang?

“Jadi, ia buat saya terfikir, adakah setiap kisah berbentuk pengajaran itu perlu datang dan berakhir gaya begitu kepada kanak-kanak. Saya kira, kita boleh ubahnya dalam bentuk lebih positif dan merangsang pemikiran pembaca menjadi lebih baik.

“Ada beberapa perubahan plot serta penamat yang lebih positif saya hasilkan menerusi karya saya ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Berkongsi pendapat sama, penulis buku Batu Belah Batu Bertangkup, Nur Khairiah Mohd Amin pula berkata, beliau ingin menampilkan satu kelainan kepada pembaca terutama kanak-kanak dengan gaya lebih positif.

Nur Khairiah menunjukkan buku cerita kanak-kanak hasil karyanya ketika ditemui di PBAKL pada Sabtu.
Nur Khairiah menunjukkan buku cerita kanak-kanak hasil karyanya ketika ditemui di PBAKL pada Sabtu.

“Bagi saya, kisah pengajaran tidak semestinya berakhir dengan tragis atau menyedihkan. Kita mampu beri pendidikan yang terbaik serta penamat yang indah.

“Kita sudah memasuki era berhadapan dengan Generasi Z, lagilah kita kena kreatif dalam penceritaan sesebuah buku,” ujarnya.