Anak meraung terpaksa berpisah dengan ibu

SHAH ALAM - Tular satu rakaman memaparkan seorang ibu dan anak yang berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.
Perkongsian rakaman berdurasi 49 saat oleh pengguna di Facebook, pada Sabtu sangat menyayat hati apabila kanak-kanak tersebut merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana hari terakhir dia bersama ibu sebelum berada dalam jagaan ayahnya.
Difahamkan, anak perempuan berkenaan merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang tidak lagi hidup bersama.
Setelah membawa haluan masing-masing, wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan telah memeluk agama Islam.