Warga British ditembak, isteri maut kebuluran ditinggal di Sudan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LONDON - Keluarga seorang lelaki berusia 85 tahun yang tinggal dekat dengan kedutaan Britain di Khartoum, Sudan, mendakwa dia ditembak oleh penembak hendap dan isterinya meninggal dunia akibat kebuluran selepas ditinggalkan di negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Keluarga Abdalla Sholgami dan isterinya Alaweya Rishwan, 80, memberitahu BBC, walaupun meminta bantuan beberapa hari selepas konflik bermula, mereka sebaliknya diarahkan keluar dari zon perang untuk menaiki pesawat di Khartoum.

Keluarga itu mendakwa mereka menghubungi talian hotline Pejabat Luar Britain, namun kerajaan tidak membantu mereka sejak penerbangan pemindahan terakhir berlepas awal bulan ini, walaupun selepas pasukan tentera British dihantar untuk memindahkan kakitangan diplomatik.

Cucu perempuan Sholgami, Azhaar berkata, kedutaan negara itu terlalu dekat dengan rumah datuk dan neneknya.

"Saya dimaklumkan 100 anggota tentera datang dan memindahkan kakitangan kedutaan,” katanya yang kecewa dengan tindakan itu.

Pejabat Luar Negeri berkata kes itu "amat mendukancitakan" kerana keupayaan untuk memberikan bantuan konsular "amat terhad" dan tidak boleh memberikan sokongan secara peribadi di Sudan.

Keluarga itu mendakwa ketika Sholgami terpaksa mencari bantuan akibat kelaparan, dia ditembak tiga kali oleh penembak hendap.

Isterinya kemudian ditinggalkan di rumah itu dan akhirnya meninggal dunia manakala Sholgami melarikan diri dan selamat di Mesir.

Lebih 2,300 orang dipindahkan oleh kerajaan Britain dari Sudan menggunakan 28 penerbangan sejak pertempuran bermula pada April.

Pertempuran bermula pada 15 April selepas ketegangan beberapa bulan antara tentera yang diketuai Jeneral Abdel-Fattah Burhan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces pimpinan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo. - Bernama-dpa