Firma pertahanan Turkiye meterai perjanjian di Pameran LIMA'23

Pengunjung tidak putus di Pusat Koordinasi Maritim, sempena LIMA'23, Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Pengunjung tidak putus di Pusat Koordinasi Maritim, sempena LIMA'23, Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISTANBUL - Firma pertahanan Turkiye, Havelsan menandatangani beberapa perjanjian dengan syarikat Asia Tenggara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23), kata pengurus besarnya, Mehmet Akif Nacar pada Khamis.

"Perdana menteri (Malaysia) (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan beberapa menteri melawat pameran kami. Kami bersama-sama menandatangani beberapa perjanjian,” kata Nacar kepada Agensi Anadolu di LIMA’23 di pulau peranginan Langkawi dari Mei 23-27.

Perjanjian yang ditandatangani Havelsan dengan syarikat Malaysia dan Indonesia, serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, meliputi infrastruktur kritikal dan keselamatan kemudahan, arahan dan kawalan, sistem simulasi, sistem pengurusan pertempuran dan keselamatan siber.

Nacar berkata, satu daripada perjanjian itu adalah mengenai keselamatan tanah air serta membabitkan kerja-kerja simulasi.

"Kami melihat kerja-kerja menghasilkan simulator helikopter di sini sedang berkembang," katanya dan menambah bahawa projek IT mencapai kemajuan di Malaysia selain keselamatan negara dan siber.

Anwar yang diberi taklimat mengenai produk dan perkhidmatan Havelsan di ruang pameran syarikat itu, turut menghadiri majlis menandatangani perjanjian itu bersama duta Turkiye ke Kuala Lumpur, Emir Salim Yuksel.

"Menerusi pihak berkepentingan tempatan kami, kami berunding mengenai pemindahan teknologi," kata Nacar.

Sambil menggariskan bahawa Havelsan menaruh "jangkaan besar" dari rantau Asia Tenggara, beliau berkata Malaysia, Indonesia, Filipina dan negara lain adalah "rakan dan sekutu yang kita boleh bekerjasama."

Nacar berkata syarikat itu juga menandatangani perjanjian mengenai sistem pengurusan pertempuran dengan syarikat Indonesia dan Havelsan turut berminat dalam projek bersama Tentera Laut Malaysia. - Bernama/ Anadolu